Monday, June 14, 2010

Piala Dunia jadi penawar trauma mangsa gempa Haiti


PORT-AU-PRINCE - Pihak berkuasa Haiti kelmarin mula menjadikan demam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selama sebulan sebagai terapi untuk memulihkan semangat rakyatnya daripada pengalaman ngeri gempa bumi awal tahun ini.
Menteri Kebudayaan dan Komunikasi, Marie Laurence Jocelyn Lassegue berkata, 137 majlis perbandaran masing-masing menerima dua buah skrin televisyen gergasi dan dipasang di kawasan mereka untuk menyiarkan semua siaran perlawanan.
Di ibu negara Port-au-Prince, pihak misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut bermurah hati mendirikan dua skrin gergasi di stadium utama yang membolehkan 10,000 orang menonton pada satu masa setiap hari.
"Penduduk cuma perlu membayar 10 gourd Haiti (RM0.82) setiap kali datang menonton dan wang ini akan disumbangkan kepada persatuan bola sepak Haiti bagi membantu ahli keluarga pemain yang terkorban semasa gempa itu," kata Lassegue.
Ketua Pengarah Majlis Telekomunikasi Kebangsaan, Marcelin Montaigne, usaha kerajaan membiayai siaran stesen televisyen negara sepanjang Piala Dunia dilaporkan menerima maklum balas positif rakyat kembali pulih daripada trauma gempa.
"Kami juga mendapat bantuan negara luar untuk memastikan liputan satelit televisyen dapat dipancarkan di seluruh negara dan ramai penduduk berasa gembira sehingga berpesta sekali gus menjadi terapi psikologi untuk mereka," katanya.
- Agensi

Sunday, June 13, 2010

::Harga ayam naik mendadak::

                      
KUALA LUMPUR - Bagai sudah menjadi lumrah apabila setiap kali tiba musim cuti persekolahan, harga runcit ayam di seluruh negara akan naik dengan mendadak.

Kenaikan harga itu sekali gus menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai terutamanya mereka yang mahu mengadakan kenduri perkahwinan serta pengusaha kedai makan kerana menambah kos untuk tujuan itu.
Peliknya, pihak-pihak di sebalik industri ayam masing-masing memberikan alasan klise apabila ditanya punca masalah kenaikan harga tersebut
Para pemborong mendakwa, harga ayam telah dinaikkan di peringkat ladang atas alasan kenaikan kos makanan menternak ayam manakala penternak pula memberikan alasan lain termasuk kos pengangkutan yang meningkat.
Persoalannya, mengapa harga ayam tiba-tiba pada musim cuti persekolahan sedangkan kos penternakan ayam pada waktu lain tidak banyak bezanya.
Tinjauan Kosmo! Ahad di ibu negara dan beberapa bandar utama di seluruh negara mendapati harga ayam naik di antara 30 sen hingga RM1.50 sekilogram sejak sekolah mula bercuti pada 5 Jun lalu.
Harga ayam di Pasar Chow Kit dan Pasar Pudu, Kuala Lumpur didapati naik sebanyak 30 sen daripada RM6.70 menjadi RM7 sekilogram ekoran tindakan pembekal menaikkan harga borong sehingga RM6.20 sekilogram.
Seorang peniaga, Anwar Manik, 37, memberitahu, pembekal telah menaikkan harga ayam beberapa sen sejak dua minggu lalu dan 30 sen lagi sejak seminggu lalu menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga jualan bagi mengelak kerugian.



Dia difahamkan kenaikan harga ayam berpunca daripada permintaan tinggi sejak musim cuti sekolah bermula ekoran majlis-majlis kenduri perkahwinan.
Seorang lagi peniaga, Karyadi Kadok, 39, pula berkata, jualan ayam di kedainya kini terjejas ekoran kenaikan harga tersebut selain tidak menerima banyak bekalan seperti sebelum musim cuti persekolahan bermula.
"Sejak beberapa minggu lalu harga ayam naik sebanyak dua kali dan apabila pembekal naikkan harga, peniaga pun terpaksa naikkan harga jualan untuk tampung kos," jelasnya.